Polisi Privasi e-Pengurusan Sekolah
Polisi ini menerangkan bagaimana SASA TEGUH DIGITAL SOLUTION memproses data peribadi dalam e-Pengurusan Sekolah, selaras dengan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA) dan pindaannya.
1. Peranan kami
- Bagi data pemilik akaun, pentadbir dan guru yang log masuk (nama, emel, log masuk), kami ialah pengguna data (data user).
- Bagi data yang sekolah masukkan tentang murid, guru dan aktiviti sekolah, sekolah yang menentukan tujuannya. Kami memprosesnya bagi pihak sekolah sahaja, mengikut arahan sekolah. Sekolah bertanggungjawab memastikan ia berhak memasukkan data itu, termasuk data murid bawah umur. Kewajipan kami sebagai pemproses diterangkan dalam Terma Perkhidmatan (bahagian "Pemprosesan data bagi pihak sekolah").
2. Data yang diproses
- Akaun: nama, emel, kata laluan (disimpan sebagai hash, tidak boleh dibaca), kod 2FA jika dihidupkan, bahasa pilihan dan masa log masuk terakhir. Jika log masuk dengan Google, kami menerima nama dan emel akaun Google itu.
- Guru dan staf: nama, jawatan, emel, telefon dan modul yang diberikan.
- Murid: nama, No. KP (disulitkan; hanya 4 digit akhir disimpan terbuka untuk pengesahan semakan), tarikh lahir dan jantina (diterbitkan dari No. KP), kelas, keahlian dan jawatan kokurikulum, kehadiran kokurikulum, penyertaan dan pencapaian pertandingan, serta ID dan kata laluan DELIMa jika sekolah memuat naiknya (kata laluan disulitkan).
- Laporan dan rekod: teks laporan, gambar aktiviti, foto jawatankuasa yang sekolah muat naik, rekod keberadaan guru, pautan dan pengumuman.
- Pembayar: nama, emel, telefon, alamat, nombor TIN/pendaftaran (untuk invois).
- Permintaan hubungi dari laman utama: nama, sekolah, emel, telefon dan mesej yang anda isi, dipakai untuk menghubungi anda sahaja dan dipadam bila tidak lagi diperlukan.
- Penjana OPR percuma: teks, nama peserta dan gambar yang diisi diproses untuk menjana PDF sahaja, kemudian dibuang. Kami tidak menyimpan kandungan itu; kami hanya mengira bilangan PDF yang dijana setiap hari. Maklumat sekolah yang diingat oleh borang disimpan dalam pelayar anda sendiri, bukan di pelayan kami.
- Teknikal: alamat IP, log keselamatan (cubaan log masuk) dan log audit tindakan pentadbir, termasuk setiap kali kata laluan DELIMa dibuka atau dieksport.
3. Tujuan
Menyediakan perkhidmatan pengurusan laporan dan rekod sekolah, menjana PDF, menghantar emel transaksi (pengesahan, invois, resit, amaran langganan), mencegah penyalahgunaan, menyokong pelanggan dan memenuhi kewajipan undang-undang (rekod kewangan).
4. Halaman awam sekolah
Halaman awam setiap sekolah dibuka bahagian demi bahagian oleh sekolah itu sendiri. No. KP penuh tidak pernah dipapar kepada umum. Nama dan gambar murid hanya muncul bila sekolah menghidupkannya, dan sekolah mesti mendapatkan kebenaran bertulis ibu bapa atau penjaga terlebih dahulu, selaras dengan arahan Kementerian Pendidikan Malaysia. Semakan PAJSK dan DELIMa awam memerlukan nama murid dan 4 digit akhir No. KP, dan cubaan yang gagal dihadkan.
5. Pendedahan dan pembekal
Kami tidak menjual data peribadi. Data hanya didedahkan kepada pembekal yang diperlukan untuk perkhidmatan, yang terikat untuk melindunginya:
- Pusat data di Malaysia yang menempatkan pelayan kami.
- Cloudflare: pengurusan DNS domain, dan semakan anti-bot (Turnstile) pada borang awam bila dihidupkan, yang menerima alamat IP dan isyarat pelayar.
- Backblaze B2: storan sandaran tersulit di luar negara (lihat bahagian 6 dan 7).
- Purelymail: penghantaran emel sistem.
- Google: log masuk dengan Google, dan salinan PDF ke Google Drive bila sekolah menyambungkan akaun Drive sendiri.
- Penyedia model AI (kini Anthropic, dengan Groq sebagai sandaran; kedua-duanya di Amerika Syarikat): hanya bila pengguna menekan "Bantu tulis": nama program, tempat, anjuran, unit, bilangan peserta dan teks yang diminta dihantar untuk dicadangkan semula. Nama murid dan No. KP tidak dihantar.
- Gerbang pembayaran: nama, emel dan telefon pembayar, hanya bila bayaran dalam talian digunakan.
6. Pemindahan ke luar Malaysia
Sebahagian pembekal di atas memproses data di luar Malaysia: Cloudflare (global), Backblaze (Kesatuan Eropah), Purelymail (Amerika Syarikat), Google (global) dan penyedia model AI (Amerika Syarikat). Kami memindahkan data peribadi ke luar Malaysia hanya bila satu syarat di bawah seksyen 129 PDPA dipenuhi, terutamanya bila pemindahan itu perlu untuk menyediakan perkhidmatan yang anda langgan dan penerima terikat untuk melindungi data itu sekurang-kurangnya setara dengan PDPA. Kami menyimpan rekod setiap pemindahan (penerima, negara, jenis data dan tujuan).
7. Lokasi dan keselamatan
Pelayan utama berada di Malaysia. Salinan sandaran disulitkan setiap malam dan turut disimpan di pusat data penyedia storan di luar negara (Kesatuan Eropah); kunci penyulitan kekal pada kami. Sambungan disulitkan (HTTPS), kata laluan dan PIN disimpan sebagai hash, No. KP dan kata laluan DELIMa disulitkan, dan data setiap sekolah diasingkan. Jika berlaku pelanggaran data peribadi, kami:
- memaklumkan Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi secepat mungkin dan tidak lewat 72 jam selepas kami mengetahuinya;
- memaklumkan individu yang terjejas tanpa kelewatan yang tidak wajar, dan tidak lewat 7 hari selepas pemberitahuan kepada Pesuruhjaya, bila pelanggaran itu mungkin menyebabkan mudarat yang ketara;
- bagi data yang kami proses bagi pihak sekolah, memaklumkan sekolah tidak lewat 72 jam selepas kami mengetahuinya, bersama apa yang berlaku, data yang terjejas dan langkah yang diambil.
8. Tempoh simpanan
- Data disimpan selagi akaun sekolah aktif.
- Data yang dipadam pengguna masuk tong sampah selama 30 hari sebelum dipadam kekal.
- Selepas sekolah meminta akaun ditutup, data dipadam selepas tempoh bertenang yang dipaparkan di Tetapan → Data.
- Percubaan yang tamat tanpa langganan dipadam selepas tempoh yang dimaklumkan melalui emel.
- Salinan sandaran luar tapak disimpan secara bergilir sehingga beberapa bulan, kemudian dipadam.
- Rekod kewangan disimpan selama tempoh yang dikehendaki undang-undang cukai.
9. Hak anda
Anda berhak mengakses, membetulkan dan meminta pemadaman data peribadi anda, menarik balik persetujuan, dan meminta data anda dipindahkan dalam format yang boleh dibaca mesin (kemudahalihan data). Anda boleh memadam akaun sendiri di Akaun saya → Padam akaun; butiran apa yang dipadam dan apa yang kekal ada di halaman Padam akaun. Pentadbir sekolah boleh mengeksport data sekolah (fail JSON) dari Tetapan → Data. Murid, ibu bapa dan guru boleh menghubungi sekolah terlebih dahulu; permintaan kepada kami dijawab dalam tempoh 21 hari, seperti yang ditetapkan PDPA.
10. Kuki dan statistik laman
Kami menggunakan kuki yang perlu sahaja (sesi log masuk, bahasa dan perlindungan keselamatan). Tiada kuki pengiklanan.
Laman utama produk (termasuk halaman panduan dan penjana OPR) serta halaman log masuk dan pendaftaran memakai Umami, alat statistik yang kami hos sendiri, untuk mengira lawatan, halaman yang dibuka dan sumber kunjungan. Ia tidak memakai kuki, tidak menyimpan alamat IP anda, menghormati tetapan "Do Not Track" pelayar, dan datanya tidak dikongsi dengan platform pengiklanan. Skrin sekolah selepas log masuk dan halaman awam sekolah tidak dijejak.
11. Hubungi kami
Pertanyaan, aduan atau permintaan berkaitan data peribadi boleh dihantar kepada Pegawai Perlindungan Data (DPO) kami.
SASA TEGUH DIGITAL SOLUTION
No. SSM: 202603289209 (SA0659777-A)
Alamat: No 17 (Atas), Jalan PP 1, Bandar Universiti Seri Iskandar, 31750 Tronoh, Perak
Emel: hello@sasateguh.com
Emel DPO: dpo@osis.my